Salam Sejahtera dan Selamat Datang

Ini adalah blog peribadi. Apa yang saya tulis adalah dari pengalaman atau pendapat saya sendiri kecuali saya nyatakan sumbernya. Mohon maaf kalau ada yang berkecil hati. Sila beri teguran jika ada yang tidak betul. ^_^


Pengikut

Rabu, 17 September 2008

pengalaman hidupku..

(Sylvia & Panang)
 
Sebaik sahaja tamat pengajian, keluarga saya dan hasben tidak mahu menunggu lebih lama untuk kami berkahwin memandangkan kami telah lama bertunang. Selepas berkahwin, kami tidak seperti pasangan pengantin yang lain yang mana kami terpaksa berjauhan disebabkan hasben mengajar di sebuah sekolah pedalaman di Kapit Sarawak. Selain daripada perjalanan jauh yang meredah hutan, hasben juga terpaksa berkongsi kuaters guru bersama guru-guru yang lain. Apa yang lebih menyedihkan, ketika berada di sekolah berkenaan hasben tidak dapat dihubungi memandangkan tiada talian telefon. Hasben juga hanya keluar ke pekan sebulan sekali dan akan balik ke rumah ketika cuti sekolah. Bagaimanapun mungkin memang rezeki kami, saya disahkan hamil pada usia perkahwinan kami dua bulan. Dalam kegembiraan, saya tetap berasa risau disebabkan terpaksa mengharungi detik-detik kehamilan tanpa hasben tercinta disisi.

(baru balik dari opis lama kat Kuching)

Anak di dalam kandungan seolah-olah faham dengan situasi ibunya. Saya tidak menghadapi banyak masalah dan tidak mengalami ’morning sickness’. Seawal usia kandungan 1 bulan, saya mengamalkan minum soya, madu dan makan vitamin yang dibekalkan oleh klinik. Saya tidak pernah mengabaikan temujanji dengan doktor dan selalu membuat senaman mahupun kerja-kerja ringan seperti berkebun bunga, menanam sayur, jagung dan sebagainya di sekeliling rumah. Kadang-kadang membantu emak menanam padi. Emak kata orang kampung waktu mengandung tak pernah malas bekerja. Sebab tu anak mereka sihat dan cergas. Saya mengiakan sahaja. Bukankah orang tua lebih berpengalaman.

(Pelajar saya semasa di SK Rajau Ensika - Sebuah sekolah pedalaman)
 
Pada usia kandungan 3 bulan saya menerima tawaran sebagai guru pengganti di SK Rajau Ensika, Simunjan. Meskipun jarak sekolah ini tidak jauh dari kampung dan saya tinggal di kuaters, saya akan balik berjalan kaki selama 2 jam ke kampung setiap minggu. Pernah juga meredah hujan lebat selama 1 jam. Tetapi disebabkan semangat nak balik, saya tidak peduli. Selama saya mengajar, tidak ada seorang pun tahu saya sedang hamil. Saya tidak mahu mana-mana pihak bersusah hati dengan keadaan saya ini. Kadang-kadang saya bersukan bersama murid sekolah. Malahan saya bertugas sebagai jawatankuasa konsert anjuran PIBG sekolah dimana saya bertugas melatih murid, menyiapkan bahan-bahan dan menghias pentas sehingga larut malam. Biarpun sentiasa berpanas dan berhujan, saya tidak pernah mengalami demam. Saya sentiasa bersemangat dan sihat. Masih teringat bagaimana rupa cikgu disana pada hari terakhir saya mengajar bila diberitahu saya sebenarnya hamil. hehehe... 
 

(syoknye konvo bila my hero dtg sekali)

Ketika kandungan berusia 5 bulan, saya menerima segulung ijazah. Acara konvokesyen menjadi lebih bermakna apabila hasben dapat hadir dan dapat berjumpa dengan kawan-kawan yang begitu teruja dan gembira melihat saya hamil. Beberapa minggu selepas konvokesyen, saya menerima tawaran bekerja di firma swasta. Bertugas sebagai Perancang Bandar amatlah mencabar. saya terpaksa bekerja sehingga larut malam dan kadang-kadang sehingga pukul 3 pagi sekiranya terdapat projek yang perlu disiapkan segera. Sepanjang bekerja, saya gemar turun naik tangga kerana percaya banyak berjalan akan memudahkan proses bersalin. Ternyata tanggapan itu benar.
 
Pada 14 April 2007, hari Sabtu saya bekerja seperti biasa. Cuma kadang-kadang perut terasa agak berlainan daripada biasa. Mungkin disebabkan tidak ada pengalaman saya pun beranggapan ia hanya senak perut biasa. Tambahan tarikh jangkaan bersalin adalah 22 April. Bagaimanapun, terlintas di hati untuk membuat persiapan terakhir. Ketika itu, saya sempat membeli barangan bayi dan ubat-ubatan yang saya perlukan ketika berpantang. Pada malam tersebut, saya merasakan sedikit kontraksi tetapi masih menunggu sehingga kontraksi 5 minit sekali. Sempat juga saya dan adik melihat siaran Akademi Fantasia (AF). Sebelum AF mengumumkan siapa yang akan terkeluar, saya mengajak adik ke Hospital Umum Kuching. Adik bertanya, sakit nak bersalin ke? Cepat-cepat jawab tak. Terpaksa tipu adik sebab tahu dia jenis penakut dan cepat panik.
 
Tiba di hospital lebih kurang dalam pukul 12 tengah malam, doktor yang memeriksa mengatakan sudah bukaan 2 cm. Saya disuruh menunggu. Bagaimanapun, sakit semakin kerap dan tidak lama kemudian air ketuban pecah dengan sendirinya. Kontraksi semakin kerap. Lebih kurang pukul 2.30 pagi doktor memeriksa semula dan terkejut kerana bayi dah mahu keluar. Doktor meminta saya menarik nafas panjang dan tidak meneran. Tetapi gesaan meneran tetap terasa. Dalam keadaan kelam kabut, jururawat dan doktor memindahkan saya ke katil bersalin. Sebaik sahaja dipindahkan, saya disuruh meneran. Doktor sentiasa memberikan peransang dan mengatakan saya pandai meneran. hehehe... Dua kali teran anak perempuan saya yang diberi nama Easter Cassandra selamat dilahirkan dengan berat 2.92 kg pada pukul 2.40 pagi. Dengan menggaru-garukan kepala sambil ketawa doktor mengatakan saya hnya mengambil masa 5 minit sahaja untuk bersalin. Jururawat pula sempat bergurau mengatakan kalau dia, mesti dia beranak setiap tahun. Ada yang bertanya apa yang saya amalkan ketika mengandung. Malahan adik yang setia menunggu diluar terkejut ketika diberitahu oleh jururawat bahawa saya telah selamat bersalin. Syukur pada Tuhan, selain daripada mudah dilahirkan, Easter juga tidak mengalami demam jaundice. Sekali lagi ditanya oleh jururawat, apa yang saya amalkan atau makan ketika mengandung mahupun berpantang?
 
(Easter Cassandra Anak Panang, DOB: 15 April 2007)
 
Pada 13 Julai 2007.. mungkin berkat rezeki anak, saya mendapat tawaran sebagai penjawat awam. Syukur atas pemberian dariNya.

Tiada ulasan: